PENDAPATRENCANA

Jebak puyuh: Perangkap burung melahirkan karya emas

Oleh IMAN SYAHMI NOOR FAIZAL

WARISAN budaya merupakan elemen yang sangat penting dalam menonjolkan imej bagi sesebuah negara.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia sangat terkenal sebagai salah sebuah negara yang mempunyai pelbagai warisan budaya sekali gus menjadikan negara kita sebagai salah sebuah negara yang wajib dikunjungi oleh pelancong dari serata dunia.

Antara warisan budaya yang sering menjadi perhatian pelancong asing adalah seperti seni, pakaian, adat resam, muzik dan makanan.

Dikenali juga sebagai negara multi-etnik, hal ini menjadikan warisan budaya di negara kita sangat unik kerana setiap budaya yang wujud dari pelbagai ras dapat mewarnai budaya di Malaysia.

Rekaan jebak puyuh dari arah belakang cukup halus dan berseni.

Antara budaya yang sangat terkenal dalam negara ini adalah budaya seni.

Ramai tidak cakna bahawa budaya seni adalah warisan tak ketara (intangible heritage) dan merupakan salah satu daripada warisan budaya negara.

Warisan seni merupakan karya yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya yang melambangkan nilai, identiti dan kehidupan masyarakat terdahulu.

Salah satu seni ‘mahal’ yang semakin dilupakan oleh generasi kini adalah seni pembuatan jebak puyuh yang merupakan seni anyaman tangan yang sangat terkenal di Malaysia terutama sekali di negeri pantai timur.

Apa itu jebak puyuh?

Jebak puyuh merupakan sebuah perangkap burung yang direka khas menggunakan sumber alam semula jadi seperti pokok reribu, kayu jelutong, timah dan jaring.

Ia berfungsi secara mekanikal. Burung puyuh akan diumpan dengan makanan burung (seperti dedak) atau burung penarik, yang diletakkan di dalam sangkar dengan tujuan menarik perhatian burung puyuh untuk masuk ke dalam sangkar.

Sebaik sahaja burung puyuh masuk ke sangkar, pintu jebak akan tertutup secara automatik.

Rekaan itu juga membuktikan masyarakat Melayu bukan sahaja pakar dalam bidang seni tetapi juga berfikiran kreatif demi menghasilkan karya yang mampu memberi manfaat kepada pengguna.

Contoh ukiran jebak puyuh yang dihasilkan mengikut kreativiti pengusahanya.

Sebenarnya jebak puyuh merupakan karya masyarakat Melayu yang mempunyai sejarah tersendiri.

Menangkap burung puyuh merupakan salah satu hobi atau rutin yang sering dilakukan ketika waktu lapang terutama sekali selepas musim menuai.

Aktiviti itu sangat terkenal dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Generasi terdahulu akan mengajar anak-anak mereka cara pembuatan perangkap burung dengan teliti.

Tujuan anak-anak diajar membuat jebak terutama sekali anak lelaki adalah sebagai salah satu pendidikan tidak formal dalam melatih sifat sabar dan tekun dalam diri anak-anak itu sendiri.

Bermula dengan reka bentuk yang ‘simple/basic/asas’ tanpa mementingkan seni, kreativiti luar biasa yang dimiliki oleh masyarakat Melayu ketika itu menghasilkan jebak yang mempunyai identiti yang tersendiri.

Pada awalnya, majoriti masyarakat Melayu mahir dengan setiap teknik pembuatan jebak puyuh.

Namun, selari dengan peredaran masa, hanya segelintir sahaja yang mampu untuk menghasilkan jebak secara berseni disebabkan kesukarannya.

Penulis ketika menemubual adiguru seni pembuatan jebak puyuh, Pok Mud baru-baru ini.

Justeru, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah melantik adiguru iaitu mereka yang pakar dalam pembuatan seni ini, supaya karya jebak puyuh ini dapat dipelihara dengan baik pada masa akan datang.

Adiguru merupakan seorang pengusaha kraf yang berkebolehan tinggi dalam mencipta produk kraf yang mempunyai identiti tersendiri.

Mereka juga berperanan penting dalam melahirkan generasi pelapis yang mampu menguasai ilmu dan kemahiran ini.

Untuk adiguru jebak puyuh, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melantik Che Mud Che Awang sebagai tenaga pengajar dan rujukan dari dalam dan luar negara dalam pembuatan jebak puyuh.

Beliau juga pernah ke luar negara sebagai wakil Malaysia untuk pameran seni di peringkat antarabangsa.

Setiap karya yang terlintas di fikiran beliau akan diterjemah melalui cara pembuatan seperti mengayam rangka jebak tersebut.

Setiap rekaan yang ada pada jebak tersebut mempunyai seni dan identiti tersendiri.

Antara seni anyaman yang terkenal untuk jebak ini adalah anyaman bunga api, bunga cengkih, mata bilis, bunga songket dan lain-lain.

Bengkel seni pembuatan jebak puyuh bersama Pok Mud.

Pagar jebak ini juga mempunyai jenis ukiran tersendiri seperti ukiran bunga cempaka, ukiran awang larat dan sebagainya.

Mungkin timbul persoalan di minda anda tentang ‘adakah seni yang dihasilkan ini mampu menarik minat burung puyuh?’.

Sebenarnya, seni yang dihasilkan tidak dapat menarik minat burung puyuh kerana seni bukan ‘makanan’ bagi haiwan liar itu.

Namun, keunikan jebak puyuh ini mampu menarik minat ‘hidupan’ lain seperti pecinta seni dan pelancong dari pelbagai negara.

Kebanyakan mereka yang membeli jebak puyuh pada zaman ini bukan berniat untuk menangkap burung puyuh ketika waktu lapang, akan tetapi ingin menjadikan hasil tangan tersebut sebagai koleksi persendirian kerana seni yang ada pada jebak tersebut sangat unik dan susah didapati di tempat-tempat lain.

Kesimpulannya, jebak puyuh bukan sekadar alat perangkap burung semata-mata tetapi ia juga merupakan lambang warisan budaya masyarakat Melayu yang telah wujud pada zaman dahulu.

Kebolehan dan kreativiti masyarakat melayu dalam memanfaatkan setiap sumber di muka bumi dalam menghasilkan sesuatu karya haruslah dipuji dan dibanggakan.

Bagaimanapun, selari dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, masyarakat kini semakin banyak melupakan warisan yang pernah wujud di negara ini.

Oleh itu, usaha dari semua pihak seperti pihak kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat sangat penting agar hasil kraf tangan kreatif ini tidak lenyap ditelan masa.

Jika tiada usaha dilakukan, kemungkinan besar jebak puyuh ini akan menjadi sebahagian memori dan catatan masyarakat terdahulu kepada generasi akan datang.

Biarlah jebak puyuh ini menjadi khazanah kebanggaan negara yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

* Penulis merupakan Pelajar Fakulti Pengurusan dengan Pelancongan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Iman Syahmi Noor Faizal

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button