USIM bangunkan ubat kumur madu kelulut pertama melalui kajian klinikal
NILAI – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini mencipta sejarah apabila berjaya membangunkan ubat kumur klinikal berasaskan madu kelulut tempatan.
Ia antara kajian pertama seumpamanya di Malaysia yang membuktikan keberkesanan madu kelulut dalam penjagaan kesihatan mulut secara saintifik.
Kajian tersebut diketuai oleh Pensyarah Fakulti Pergigian USIM, Dr. Nur Ayman Abdul Hayei bersama pasukannya.

Antaranya ialah Dr. Muhammad Annurdin Sabarudin, Dr. Nor Haliza Mat Baharin serta Dr. Nik Madihah Nik Azis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan dua alumni Fakulti Pergigian USIM, Dr. Humaira Reduan dan Dr. Nor Suhaira Zulkiflee.
Menurut Dr. Ayman, penyelidikan itu bertujuan menilai keberkesanan ubat kumur yang diformulasikan dengan 20 peratus madu kelulut dan air suling dalam mengawal pembentukan plak gigi.
“Plak gigi terjadi hasil pengumpulan bakteria pada permukaan gigi dan gusi.
“Madu kelulut pula terbukti mempunyai sifat antibakteria dan anti-radang menjadikannya alternatif semula jadi yang berpotensi tinggi dalam penjagaan oral,” katanya.
Kajian klinikal yang berlangsung selama hampir setahun itu dijalankan dengan kerjasama Bayu Kelulut (M) Sdn Bhd menerusi geran Biduni Mizaniyah USIM.
Ia juga mencatat sejarah sebagai kajian klinikal pertama yang menilai produk kelulut tempatan dalam bidang pergigian.
Antara cabaran utama ialah mengenal pasti seramai 30 orang sukarelawan yang memiliki gusi sihat dan tidak memakai pendakap gigi bagi memastikan ketepatan keputusan kajian.
“Setiap peserta dikehendaki berkumur selama dua minit, dua kali sehari selama tiga hari menggunakan tiga jenis ubat kumur berbeza iaitu air garam, madu kelulut dan larutan klorheksidin,” jelas Dr. Ayman.
Keputusan menunjukkan ubat kumur madu kelulut memberi penurunan skor plak yang ketara, selain diterima lebih baik oleh peserta kerana tidak pedas seperti larutan klorheksidin.
“Inilah bukti bahawa madu kelulut bukan sahaja bernilai dalam pemakanan malah mempunyai potensi besar dalam bidang kesihatan pergigian,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Gagah Marketing, Hisham Yusof menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian penting dalam industri madu kelulut negara yang membuka laluan kepada penerokaan pasaran global bagi produk penjagaan mulut berasaskan bahan semula jadi.
“Penemuan ini memperkukuh keyakinan bahawa Malaysia mampu muncul sebagai peneraju dalam pengeluaran produk semula jadi, khususnya madu kelulut bagi kegunaan klinikal dan penjagaan diri,” katanya.
Namun menurut Hisham, kajian itu masih di peringkat awal dan memerlukan kajian lanjutan yang lebih meluas dari segi jumlah peserta dan tempoh kajian sebelum dipasarkan secara besar-besaran.
“Dengan memenuhi semua piawaian kesihatan yang ditetapkan, produk ini berpotensi tinggi untuk dipasarkan di farmasi, klinik pergigian, kedai runcit dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








