BERITA SEMASA

Ahmad Zahid bentang RUU Jenayah Siber 2026 di Parlimen

KUALA LUMPUR – Rang undang-undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen hari ini, bertujuan untuk memperkukuh keupayaan negara bagi menangani ancaman keselamatan siber yang semakin canggih dan kompleks.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU itu apabila dilaksanakan kelak, bukan sahaja akan melindungi rakyat secara tuntas, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

“Hari ini, saya telah membentangkan bacaan pertama bagi RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat. Selanjutnya, Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga RUU Jenayah Siber 2026 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2026 nanti.

Melalui penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 ini, saya percaya bahawa ekosistem keselamatan ruang siber di Malaysia perlu ditambah baik bagi menjamin persekitaran digital yang lebih selamat, terpelihara dan dipercayai.

Melalui kerangka perundangan yang lebih mampan nanti, ia bukan sahaja akan melindungi rakyat secara tuntas, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, RUU tersebut akan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] bagi memastikan Malaysia akan dapat memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest) dan United Nations Convention Against Cybercrime (Konvensyen UN).

“RUU Jenayah Siber 2026 ini akan memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan jenayah siber dan akan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (NACSA, MKN JPM),” katanya lagi.

Beliau menambah, ancaman jenayah siber kini bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem komputer dan kecurian data, malah turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi dan serangan perisian tebusan (ransomware) serta penyalahgunaan teknologi memuncul seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI).

Justeru, pembentangan RUU yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu adalah penting bagi mencegah dan memerangi jenayah siber yang semakin kompleks.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button