BERITA SEMASADALAM NEGERI

RUU Perkongsian Data langkah strategik rangsang ekonomi

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 (RUUPD 2024) yang diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke 15 berakhir semalam diharap dapat mewujudkan struktur tadbir urus perkongsian data yang lebih sistematik.

Menteri Digitial, Gobind Singh Deo berkata, antara objektif penggubalan RUU itu adalah untuk memberi punca kuasa yang jelas bagi mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang perkongsian data.

Katanya, ia juga bertujuan menambahbaik keberkesanan fungsi-fungsi agensi pelaksana serta membolehkan aktiviti mengurus dan mengawal selia perkongsian data dengan lebih cekap melalui penglibatan semua pihak berkepentingan.

“RUUPD 2024 merupakan satu daripada iltizam Kerajaan MADANI yang memfokuskan inisiatif perkongsian data sebagai salah satu langkah strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Data merupakan suatu aset yang seharusnya boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Gobind berkata, kelulusan RUU itu juga mencatat sejarah kepada kementeriannya yang turut meraikan kejayaan peluncuran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke 15 yang menutup tirai semalam menyaksikan sebanyak 26 rang undang-undang (RUU) diluluskan.

Antara yang diluluskan adalah RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, RUU Perkongsian Data 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 dan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024, RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.

Sementara itu, dua RUU ditangguhkan iaitu RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 untuk penelitian semua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button