Kerajaan perluas penyediaan infrastruktur luar bandar
Rapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluas penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan di kawasan luar bandar selari dengan tekad merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran kerajaan adalah merapatkan jurang daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada tahun 2025.
“Dalam hal ini, Kerajaan akan memperluas penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan, memanfaatkan potensi ekonomi desa dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan untuk memastikan kesejahteraan penduduk di desa dan pedalaman,” kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu, kata Anwar, antara program dan projek baharu yang akan dilaksanakan termasuk:
1 – Projek Membina Jalan dari Kampung Geddes melalui Sungai Kelai ke Felda Palong, Jempol, Negeri Sembilan;
2 – Projek Membina Jalan dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka;
3 – Projek Membina Jalan dari Kampung Kuala Sungai Udang ke Pantai Murni, Yan, Kedah;
4 – Projek Membina Jalan Pintas Bukit Sagu ke Bukit Kuin, Kuantan, Pahang;
5 – Projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Perak Fasa II;
6 – Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) 2.0; dan
7 – Program Pembangunan Keupayaan Komuniti Luar Bandar.
Tambah Anwar, pembangunan usahawan desa akan terus dipergiat bagi meningkatkan kapasiti perniagaan melalui pelbagai program dan inisiatif selaras dengan keperluan industri setempat.
“Produk kotej desa akan terus dipromosikan melalui Pusat Komuniti Desa (PKD), manakala penggunaan platform e-dagang akan ditingkatkan untuk pasaran yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








