Kerajaan terus komited sokong pembangunan sukan negara
IPOH – Kerajaan akan terus memberi sokongan padu terhadap pembangunan sukan negara sebagaimana sektor lain seperti ekonomi, budaya dan pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan terhadap sukan bukan sahaja penting untuk melahirkan atlet berdisiplin dan berdaya saing, tetapi juga berperanan memperkukuh semangat perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Semalam saya dah umum panjang (Belanjawan 2026) tentang sukan, olahraga, semangat perpaduan. Hargai sumbangan anak-anak muda dalam sukan dan olahraga.
“Saya tentu sama Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) akan perhati, cuba bantu apa yang mampu. Sekecil-kecilnya, sebesar-besarnya, apa yang mungkin kerana negara ini nak maju dari segi ekonomi, nak maju dari segi budaya, nak maju dari segi intelek, tapi nak maju dari segi sukan rakyat ini,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 (HSN2025) di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pagi tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Hannah.
Buat julung kalinya, program yang memasuki tahun ke-10 itu diadakan di luar Lembah Klang dan disambut serentak di seluruh negara, hari ini.
Kira-kira 10,000 peserta menyertai program berkenaan yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kecergasan termasuk larian dan kayuhan basikal.
Sempena HSN2025 hari ini, Anwar turut melepaskan peserta Larian Ria MADANI dan menyampaikan Anugerah Sukan Untuk Semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








