BERITA SEMASAPMX

PM persoal mengapa kenaikan gaji, kebajikan ATM tidak dilaksana lima tahun lalu

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa kenaikan gaji anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peningkatan peruntukan pertahanan serta penambahbaikan kebajikan anggota tidak dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan hari ini bukan sekadar membuat janji, sebaliknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menaikkan peruntukan Kementerian Pertahanan sebanyak 35 peratus, meningkatkan gaji dan elaun anggota serta membaik pulih kuarters tentera.

“Semua orang boleh berjanji. Tetapi kalau saya tanya, mengapa lima tahun dahulu tidak dinaikkan gaji? Mengapa lima tahun dahulu tidak ditingkatkan belanja untuk rakyat, untuk biaya ketenteraan?

“Mengapa lima tahun dulu tidak difikirkan untuk memperbaiki perumahan, bina hospital baharu dan perbaiki bekalan air?” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Terendak di sini hari ini.

Menurut Anwar, semakan gaji yang dilaksanakan kerajaan pada tahun 2023 merupakan yang pertama selepas tiada kajian dibuat selama 12 tahun.

Beliau berkata, hasil semakan yang diselesaikan menyaksikan penjawat awam, termasuk anggota ATM, menerima kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah.

“Gaji mereka meningkat pada kadar tertinggi dalam sejarah, begitu juga elaun yang diterima. Pembaikan kuarters tentera, termasuk yang dilaksanakan oleh Kor Jurutera Diraja, juga merupakan antara yang terbesar pernah dilaksanakan.

“Adakah ia sudah mencukupi? Belum. Sebab itu, jika keadaan kewangan negara mengizinkan, kerajaan akan menambah lagi peruntukan dalam Belanjawan Oktober nanti, khususnya untuk membaik pulih kemudahan dan perumahan anggota,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan sebanyak 35 peratus dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI bukan jumlah yang kecil kerana ia menggunakan wang rakyat.

Justeru, katanya, setiap perbelanjaan perlu diurus secara berhemah bagi memastikan kebajikan anggota keselamatan terus diperkasa tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.

“Saya tidak mengatakan tidak dilakukan apa-apa sama sekali, tetapi tengok rekod.

“Tidak boleh ada upaya mereka, sesiapa pun sebelum ini nak saingi dengan apa yang kita lakukan sekarang. Kalau tanya saya memang belum cukup,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button