Fahmi kecam buli, ugut mahasiswa UM, gesa laporan dibuat
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengecam tindakan membuli dan mengugut mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, susulan pandangan yang disuarakannya dalam satu forum.
Beliau turut menggesa mangsa buli siber supaya segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata, tindakan mengherdik dan mengugut mahasiswa berkenaan, termasuk ancaman untuk mencarinya di universiti, tidak mencerminkan adab dalam berkomunikasi dan tidak sepatutnya berlaku hanya kerana perbezaan pandangan.
“Kita boleh berbeza pandangan, tidak jadi masalah. Dalam kes adik Ummi ini, beliau menyuarakan pandangan dan kita tahu sekarang mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara.
“Maka, kita perlu raikan kerana ia tidak melanggar apa-apa undang-undang, malah tidak bersifat jenayah. Beliau hanya menegur perkara berkaitan jenayah rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Smart Parents Interactive Hub di sini, hari ini.
Fahmi berkata, meskipun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan nada atau cara mahasiswa berkenaan menyampaikan pandangannya, perkara lebih penting ialah intipati yang diketengahkan.
Beliau berkata, pandangan itu mencerminkan hasrat untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang menyokong usaha membanteras kleptokrasi, selain menolak perbuatan menyamun, merompak dan rasuah.
Dalam forum terbuka bersama-sama pemimpin UMNO baru-baru ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Pandangan itu kemudian mengundang kecaman di media sosial, termasuk komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa berkenaan.
Sehubungan itu, Fahmi menggesa semua mangsa buli siber supaya segera membuat laporan kepada polis dan MCMC bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pelaku serta mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, MCMC akan meneliti tindakan yang boleh diambil berhubung kes berkenaan, selain menegaskan bahawa suruhanjaya itu akan bertindak secara proaktif dan tidak hanya menunggu laporan dibuat.
Dalam pada itu, Fahmi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mengingatkan rakyat supaya menjaga adab ketika berkomunikasi melalui media sosial.
Beliau berkata, pengguna tidak seharusnya menganggap hantaran dalam talian tidak membawa sebarang implikasi, termasuk apabila akaun yang digunakan dipercayai akaun palsu.
Fahmi berkata, MCMC sedang menyiasat beberapa insiden tingkah laku tidak autentik terancang (CIB) yang menyasarkan Sultan Ibrahim dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, lebih 2,000 kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau bersifat sangat jelik, selain 600 akaun palsu, dikenal pasti menghina Seri Paduka Baginda.
“Siasatan awal MCMC mendapati kebanyakan akaun palsu yang menyerang Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook dipercayai berasal dari luar negara dan siasatan masih dijalankan.
“Sekiranya kita mengenal pasti secara positif individu-individu tertentu, kita akan usaha untuk bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Bagi kes yang menyasarkan Tuanku Muhriz, Fahmi berkata, sejumlah akaun palsu dipercayai diwujudkan kira-kira sebulan lalu sebelum digunakan untuk mencetuskan perbincangan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Beliau berkata, sesetengah akaun berkenaan tidak mempunyai pengikut atau hanya mempunyai seorang pengikut, sekali gus menimbulkan syak bahawa akaun itu diwujudkan bagi tujuan tertentu.- BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








