BERITA SEMASA

Siasatan saham Azam Baki selesai, keputusan di peringkat tertinggi kerajaan

PETALING JAYA – Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disahkan telah selesai dan kini menunggu keputusan muktamad di peringkat tertinggi kerajaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan tidak lagi berada pada fasa siasatan, sebaliknya proses seterusnya sedang diuruskan secara pentadbiran oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Setakat pemahaman saya, siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham itu telah pun selesai dan dapatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” memetik FMT online.

Menurut beliau, tindakan susulan kini bergantung kepada pertimbangan kerajaan berdasarkan laporan yang telah dikemukakan.

“Proses seterusnya kini diuruskan oleh KSN dan keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan apa yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya lagi.

Sebelum ini, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan yang diketuai oleh Peguam Negara, Datuk Seri Dusuki Mokhtar, bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Dakwaan tersebut timbul susulan laporan antarabangsa yang menyatakan Azam memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat, sekali gus mencetuskan perbahasan berkaitan pematuhan peraturan pegangan saham oleh penjawat awam.

Mengikut pekeliling kerajaan, penjawat awam dibenarkan memiliki saham dalam syarikat tempatan dengan syarat pegangan tidak melebihi had tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam sebelum ini menegaskan beliau telah membuat pengisytiharan harta mengikut peraturan sedia ada dan tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan.

Malah, beliau turut memfailkan tindakan undang-undang terhadap agensi berita antarabangsa berhubung laporan yang diterbitkan, selain menegaskan bahawa tiada pihak seharusnya dihukum berdasarkan persepsi semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button