
CelcomDigi lancarkan Pusat Pengalaman AI
PETALING JAYA – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan (Al) (AiX) iaitu sebuah hab inovasi yang mempamerkan pembangunan teknologi terkini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif pembinaan hab itu bertujuan memberi inspirasi dan memajukan penyelesaian digital bertaraf dunia merentasi pelbagai sektor selain turut memacu transformasi digital Malaysia.
“AiX ialah satu langkah penting ke arah merealisasikan visi kami berkaitan Malaysia yang digital dan inovatif. Ia menyediakan platform untuk mempamerkan kemajuan kami dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menolak sempadan apa yang mungkin.
“Sebagai hab inovasi, ia akan memupuk perkongsian dan kerjasama merentas industri, akademik dan kerajaan, yang memangkin pertumbuhan ekosistem digital yang berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Pelancaran AiX yang diadakan di Hub CelcomDigi, di sini hari ini.
Menurut CelcomDigi, AiX berfungsi sebagai titik fokus untuk kerjasama merentas industri dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti 5G, AI, realiti lanjutan (XR), robotik, analitis dan Metaverse.
Katanya, hab tersebut ditubuhkan dengan kerjasama 40 syarikat tekonologi bagi menyediakan rumusan digital bertaraf dunia dalam pelbagai sektor.
Sehubungan itu, terdapat dua ruang inspirasi utama yang disediakan untuk pelawat di hab tersebut iaitu ruang The Infinity dan ruang The Gallery.
“The Infinity ialah ruang yang direka untuk menyediakan pengunjung dengan pengalaman interaktif simulasi masyarakat digital mengasyikkan dengan penggunaan teknologi audio dan visual termaju.
“Manakala, The Gallery pula mempamerkan susunan fizikal produk teknologi digunakan industri dunia sebenar bagi memaparkan potensi transformatif teknologi baharu yang penting kepada pertumbuhan perusahaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelas CelcomDigi, kedua-dua ruang simulasi itu memaparkan rangkaian teknologi dan robotik 5G yang dikuasakan Al merentasi lapan sektor iaitu pembuatan, logistik, tenaga, armada, pelabuhan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan teknologi pertanian.
Dalam pada itu, hab yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Subang Jaya itu akan dibuka kepada pelawat mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pihak-pihak termasuk ahli akademik, agensi kerajaan, organisasi korporat serta rakan kongsi teknologi dan perniagaan terutamanya dialu-alukan untuk mengadakan lawatan ke AiX.
“Jadualkan lawatan untuk mengetahui bagaimana Pusat Pengalaman Al CelcomDigi boleh memberi inspirasi dan memajukan transformasi digital Malaysia di innovation@celcomdigi.com,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














