Kabinet umum empat keputusan, termasuk pelanjutan pelepasan cukai TAR UMT
PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membuat beberapa keputusan penting melibatkan sektor pendidikan, perlindungan sosial, pertahanan dan perkhidmatan awam, termasuk melanjutkan tempoh pelepasan cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti peranan TAR UMT dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan mampu milik.
“Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai TAR UMT untuk tempoh 10 tahun.
“Bagaimanapun, universiti itu kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan, termasuk mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun mengikut keperluan Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Jemaah Menteri memutuskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial tidak lagi diwajibkan.
Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi skim berkenaan.
“Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman tersebut tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.
“Kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.
Dalam pada itu, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya Kementerian Pertahanan (MINDEF) menghentikan serta-merta sebarang perolehan baharu peralatan atau kelengkapan pertahanan dari Norway.
Keputusan itu dibuat susulan tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Tidak ketinggalan, kerajaan turut memutuskan had umur persaraan penjawat awam kekal pada 60 tahun.
“Kerajaan telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan buat masa ini.
“Oleh yang demikian, had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada umur 60 tahun,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















