BERITA SEMASA

Sekolah di Johor tutup lima hari bermula 19 Oktober

JOHOR BAHRU – Semua institusi pendidikan di Johor ditutup selama lima hari lagi bermula 19 Oktober hingga 23 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keputusan itu diperkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menitikberatkan keselamatan serta kesihatan rakyat Johor susulan situasi jerebu yang berterusan.

Beliau berkata, ketetapan itu dicapai hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang diadakan pukul 12 tengah hari, hari ini.

“Keputusan dibuat berpandukan laporan pemantauan yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal pada paras membimbangkan, selain mengambil kira pergerakan angin ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang.

“Selain itu, pihak kesihatan turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pendedahan berpanjangan apabila sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan sepanjang bulan ini dengan peningkatan mingguan 20.7 peratus,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pengecualian secara terhad boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu.

Menurut Dr. Muhammad Naqib, pertimbangan itu tertakluk kepada penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat tanpa melibatkan sebarang aktiviti tambahan.

“JPNJ akan memperincikan SOP pelaksanaan selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) secara harian, termasuk kewajipan pemakaian pelitup muka, manakala Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan.

“Bagi Institusi Pendidikan Swasta dan pusat penjagaan kanak-kanak, keputusan untuk beroperasi atau ditutup tertakluk kepada pertimbangan premis masing-masing dengan mematuhi garis panduan pengoperasian ditetapkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button