BERITA SEMASA

Pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar tanpa gangguan sistem – MOF

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berjalan lancar dengan sistem yang beroperasi stabil dan tidak menimbulkan sebarang kerumitan atau barisan panjang dalam kalangan pengguna.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan sudah menilai kelemahan teknikal, logistik atau operasi sebelum memperluaskan program penyasaran BUDI95.

“Pelaksanaan program BUDI95 secara berperingkat membolehkan ujian awal terhadap sistem dilaksanakan dalam skala kecil sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasaran lebih besar.

“Pendekatan ini penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti, menilai dan menambah baik sebarang kelemahan teknikal, logistik atau operasi yang mungkin timbul sepanjang tempoh pelaksanaan awal.

“Setakat ini, dalam bulan pertama pelaksanaan BUDI95 boleh dikatakan berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan stabil dan secara amnya, ia tidak mengakibatkan kerumitan atau barisan panjang menunggu oleh pengguna,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN).

MOF berkata, dalam pelaksanaan BUDI95, gangguan teknikal yang dihadapi ketika bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Ogos lalu dan beberapa hari berikutnya juga memberi pengajaran kepada kerajaan.

“Pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat, bermula dengan anggota tentera dan polis pada 27 September 2025, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September 2025, dan seterusnya diperluaskan kepada warganegara Malaysia yang layak pada 30 September 2025,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button