BERITA SEMASA

Protes usul bahas isu KWSP ditolak, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat pagi tadi sebagai tanda protes selepas usul bagi membincangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar ditolak.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, usul itu perlu dibahaskan hari ini kerana persidangan Dewan Rakyat akan tamat esok, namun ditolak Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong kerana keputusan sudah dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) turut berdiri menyokong Wan Fayhsal supaya usul berkenaan yang merupakan isu penting rakyat terus dibahaskan.

“Masalah ini harus dibincangkan, ini masalah terdesak, rakyat mahu keputusan ini dibahaskan. Ada yang sanggup jalan kaki ke istana untuk nyatakan pendirian mereka. Apakah kerajaan tak sedar rakyat tunggu keputusan yang dibuat,” kata Hamzah.

Alica bagaimanapun menasihatkan pembangkang untuk menghantar surat berkenaan perkara itu kepada Johari.

Kerana masih tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Speaker, Hamzah seterusnya berkata, pembangkang akan bertindak keluar dewan sekiranya usul berkenaan terus ditolak.

“Jika perkara ini tidak dibincangkan, kami (Ahli Parlimen PN) akan keluar sebagai protes,” kata Hamzah.

“Kalau mahu keluar, keluar sahaja, jangan cakap guna mic (mikrofon),” balas Alice kepada Hamzah.

Susulan itu, kesemua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dan mengosongkan blok mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button