SUKAN

Piala Dunia 2030: RM2 juta jadi modal, jurulatih kecergasan mahu bina skuad U-25

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih kecergasan, Iskandar Salleh tampil menawarkan cadangan projek pembangunan bola sepak bagi pasukan bawah 25 tahun (U-25) negara sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2030 yang dijadual bermula pada September 2027.

Cadangan tersebut mendapat perhatian ramai selepas beliau meninggalkan komen di media sosial yang ditujukan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi menawarkan diri untuk membentuk ‘pasukan mantap’ terdiri daripada pemain tempatan bawah 25 tahun, namun mengakui kekangan modal menjadi halangan untuk memulakan projek berkenaan.

Menurut Iskandar, pemain yang terpilih akan ditempatkan bersama sepanjang tempoh projek di lokasi yang dicadangkan iaitu Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil kerana kemudahan sedia ada seperti asrama, dewan makan, trek olahraga, gimnasium dan padang bola sepak yang lengkap.

“Pemain yang terpilih akan ditempatkan bersama sepanjang tempoh projek. Lokasi yang dicadangkan ialah ISN Bukit Jalil kerana mempunyai kelengkapan yang cukup seperti asrama, dewan makan, trek, gim serta padang bola sepak.

“Pemain akan menjalani latihan seawal pukul 4.30 pagi dengan empat sesi latihan sehari, enam hari seminggu. Mereka juga akan didedahkan dengan nutrisi yang lengkap serta latihan kekuatan, stamina dan kelajuan bagi menyediakan pemain supaya mampu bersaing dengan pemain antarabangsa,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata, kebanyakan program pembangunan pemain ketika ini terlalu menitikberatkan aspek teknikal sehingga mengabaikan elemen kekuatan fizikal, kecergasan dan pemakanan yang menurutnya memainkan peranan penting dalam pembentukan atlet moden.

“Apa yang membezakan program saya dengan yang lain ialah pemain akan menjalani empat sesi latihan sehari, sedangkan kebanyakan pasukan hanya berlatih satu atau dua sesi sehari. Selain itu, pemain akan dibekalkan pemakanan dan suplemen lengkap sebanyak lapan kali sehari.

“Mereka juga akan menjalani latihan kekuatan sebanyak tiga sesi seminggu, manakala latihan stamina dan kelajuan dua sesi seminggu. Penekanan turut diberikan kepada kemahiran individu seperti rembatan ke gawang, hantaran lintang dan sepakan percuma,” ujarnya.

Baca juga : Harimau Malaya disasar capai taraf dunia menjelang 2030

Mengulas mengenai kos projek tersebut, Iskandar menganggarkan modal awal sekitar RM2 juta diperlukan menjelang September 2027 bagi membiayai gaji pemain sepenuh masa, jurulatih dan kitman.

“Anggaran modal awal menjelang September 2027 mungkin sekitar RM2 juta. Ia hanya melibatkan bayaran gaji pemain secara sepenuh masa, jurulatih serta kitman dan belum termasuk kos sewaan kemudahan serta pengangkutan,” katanya.

Iskandar bukan nama asing dalam arena sukan tempatan apabila bekas pemain ragbi kebangsaan bagi tempoh 2001 hingga 2005 itu pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2018.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button