SUKAN

Modric sambung kontrak bersama AC Milan hingga 2027

MILAN – Bintang veteran Croatia, Luka Modric memilih untuk melanjutkan perjalanan kariernya bersama AC Milan selepas kelab Serie A itu mengesahkan lanjutan kontrak pemain tengah berkenaan sehingga 30 Jun 2027.

Pemain yang bakal menginjak usia 41 tahun dalam tempoh kurang dua bulan itu masih mendapat kepercayaan Milan untuk kekal menyarung jersi Rossoneri bagi satu musim lagi.

Modric menyertai kelab gergasi Itali itu pada 2025 dan tampil dalam 37 perlawanan musim lalu dengan menyumbang dua gol.

“Sebagai salah seorang pemain terbaik dan paling ikonik dalam bola sepak dunia, pemain Croatia ini akan meneruskan perjalanannya menyarung jersi Rossoneri,” kata AC Milan menerusi satu kenyataan.

Sepanjang kariernya, Modric mencipta nama sebagai antara pemain tengah terbaik dunia selepas membantu Croatia muncul naib juara Piala Dunia 2018 sebelum dinobatkan sebagai pemenang anugerah Ballon d’Or pada tahun sama.

Beliau turut mencipta sejarah bersama Real Madrid apabila membantu kelab Sepanyol itu meraih enam kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.

Pada saingan Piala Dunia terbaharu, Modric masih menjadi tonggak utama Croatia apabila mengetuai pasukan itu sehingga ke pusingan 32 sebelum disingkirkan Portugal.

Sementara itu, AC Milan yang menamatkan kempen Serie A di tempat kelima musim lalu selepas melalui musim mengecewakan turut membuat perubahan pada barisan kejurulatihan apabila melantik bekas pengendali Manchester United, Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih baharu menggantikan Massimiliano Allegri.

Menurut laman web statistik bola sepak Transfermarkt, Milan turut memperkuatkan skuad dengan mendapatkan penyerang Portugal, Goncalo Ramos dari Paris Saint-Germain pada nilai melebihi 70 juta euro (AS$80 juta), selain pertahanan Sepanyol, Mario Gila dari Lazio dengan bayaran 30 juta euro.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button