Polis buka siasatan pekerja kontraktor didakwa beri isyarat lucah ketika tangkap anjing liar
BATU PAHAT – Polis membuka kertas siasatan selepas seorang wanita mendakwa menerima isyarat tangan berunsur lucah dan mengaibkan daripada pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar di Sri Gading, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, laporan daripada wanita tempatan berusia 29 tahun itu diterima pada pukul 2.02 pagi, hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semalam ketika pengadu melalui sebuah kawasan perumahan di Sri Gading.
“Terdapat beberapa pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi menangkap haiwan terbiar.
“Berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak sebelum salah seorang pekerja kontraktor terbabit menunjukkan isyarat tangan yang difahami berunsur lucah dan mengaibkan pengadu,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan dakwaan kontraktor terbabit menganiaya anjing terbiar sebelum perakam yang menegur perkara itu diberikan isyarat tangan berunsur lucah dan tidak sopan.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dilaporkan akan memanggil kontraktor yang dilantik bagi menguruskan haiwan terbiar serta wakil pencinta haiwan untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai insiden berkenaan.
Dalam pada itu, MPBP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya komited mengekalkan ketelusan dan memastikan kesejahteraan komuniti dalam setiap tindakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







