PDRM sokong vape diharamkan akibat penyalahgunaan bahan terlarang5
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menegaskan pendirian menyokong pengharaman vape secara menyeluruh berikutan pengesanan dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’ yang dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif dalam dadah tersebut mengakibatkan kesan halusinasi melampau yang membuatkan penggunanya bertindak di luar kawalan seolah-olah seperti ‘zombie’.
Beliau berkata penggunaan vape kini dilihat sudah disalahgunakan oleh sindiket dadah sebagai taktik bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu adalah satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi isunya adalah alat itu disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).
“Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal.
“Banyak negara luar sudah pun mengharamkannya, oleh itu Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik untuk membanterasnya,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas menyempurnakan Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Jelas Ayob, PDRM tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengharamkan penggunaan vape kerana perkara itu turut membabitkan bidang kuasa kementerian dan agensi lain, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempergiat pemantauan serta operasi berskala besar secara berterusan.
Sebelum ini, media melaporkan JSJN menahan enam lelaki termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal dan menghisap vape secara keterlaluan, baru-baru ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan vape yang dikhuatiri menjadi medium normalisasi budaya penyalahgunaan bahan terlarang serta gaya hidup tidak sihat.
Beliau turut dilapor berkata JSJN tidak menolak kemungkinan terdapat vape yang dicampur bahan berbahaya atau dadah sintetik yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















