JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek cederakan kanak-kanak, bayi dakwa terdengar ‘bisikan’

GEORGETOWN – Bapa saudara yang mencederakan dua kanak-kanak dengan mencampak salah seorangnya dari tingkat satu sebuah pangsapuri di Sungai Pinang semalam, mendakwa terdengar ‘bisikan’ sebelum berbuat demikian.

Seorang ahli keluarga yang hanya mahu dikenali sebagai Taiyoob, 31, berkata, terdahulu, dia terdengar jeritan ibunya meminta tolong sebelum mendapati suspek yang juga adik lelakinya berada dalam keadaan berbogel serta berlumuran darah.

Katanya, kejadian berkenaan berlaku dengan pantas dan dia turut mendapatkan bantuan jiran bagi menenangkan suspek.

“Ahli keluarga yang lain menyelamatkan kedua-dua anak kakak saya itu sebelum menghantar mereka ke hospital.

“Adik saya (suspek) turut mendakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum mencederakan kedua-dua anak saudara,” katanya kepada portal Buletin TV3, hari ini.

Tambah Taiyoob, suspek merupakan adiknya dan dia sedang menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, difahamkan, suspek berusia 29 tahun turut mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa.

Mangsa pertama berusia tiga tahun mengalami kecederaan di mulut serta patah kaki kiri setelah dicampak dari tingkat satu bangunan berkenaan.

Adik mangsa, yang juga bayi perempuan yang baru berusia 40 hari mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dipercayai dihempas ke lantai oleh suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button