JENAYAH & MAHKAMAH

77 penjawat awam di Kedah ditahan kes dadah sepanjang 2025

ALOR SETAR – Seramai 77 penjawat awam di Kedah, termasuk pegawai dan anggota polis, ditahan sepanjang tahun ini kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini tidak akan berkompromi dalam tindakan penguatkuasaan, termasuk terhadap penjawat awam, bagi memastikan gejala dadah dapat dibanteras secara menyeluruh.

“Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa pegawai dan anggota polis turut terlibat, selain penjawat awam lain seperti guru dan sebagainya,” memetik BH online.

Menurut beliau, sepanjang tempoh awal tahun hingga 21 Disember lalu, Kontinjen Kedah merekodkan 26,907 kes berkaitan dadah, meningkat 13.2 peratus berbanding 23,759 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah tangkapan turut mencatat peningkatan apabila seramai 27,657 individu ditahan termasuk pembekal, dengan 24,335 daripadanya dikenal pasti sebagai penagih, meningkat 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Adzli memaklumkan nilai rampasan pelbagai jenis dadah termasuk ketum sepanjang tahun ini mencecah RM47.6 juta, meningkat hampir 500 peratus berbanding RM8.8 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, antara dadah yang paling banyak dirampas ialah bunga ganja seberat 426 kilogram, diikuti syabu lebih 419 kilogram, ganja 192 kilogram dan pati heroin 120 kilogram.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu penagih yang mempunyai dua rekod lampau, seramai 1,474 orang berjaya ditahan dan dituduh setakat semalam.

“Hukuman bagi kesalahan tersebut memperuntukkan penjara selama lima tahun serta sebatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button