Polis kesan enam lagi suspek
Susulan penemuan mayat lelaki warga Indonesia dalam tangki najis
SERI ISKANDAR – Polis sedang mengesan enam lagi suspek warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung penemuan satu mayat lelaki dalam tangki najis di sebuah rumah di Kuala Kangsar pada 14 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menemukan dokumen milik suspek dan sudah mengajukan hal ini kepada pihak kedutaan Indonesia.
Sebelum ini, sepasang suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dicari pihak polis selepas mereka dipercayai melarikan diri.
“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti terdapat lapan suspek. Kesemua mereka adalah pendatang dari Indonesia dan kita sedang menjejaki mereka bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Dua daripadanya adalah seperti yang diumumkan sebelum ini adalah sepasang suami isteri yang tinggal serumah dengan mangsa. Manakala enam lagi suspek baharu tinggal di rumah sewa berhampiran kediaman mangsa.
“Pihak polis menemukan dokumen pengenalan mereka seperti pasport dan kita akan bekerjasama dengan pihak kedutaan Indonesia bagi mengesan dan menjejaki mereka ini bagi membantu siasatan kes penemuan mayat ini.
“Apabila selesai siasatan, kita akan bawa kertas siasatan ke pihak pendakwa raya untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Polis Kontinjen Perak di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, dekat sini malam tadi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis itu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Ditanya mengenai kemungkinan suspek melarikan diri ke luar negara, Mohd Yusri berkata, perkara itu masih lagi dalam siasatan.
“Kita juga sudah minta bantuan Jabatan Imigresen di pintu keluar masuk di seluruh negara untuk kita mengesan kesemua lapan suspek,” katanya.
Pada 14 Mei lalu, media melaporkan penemuan mayat lelaki warga Indonesia dalam tangki najis di sebuah rumah di Kuala Kangsar.
Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati, mangsa yang berusia 40-an mati disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








