BERITA SEMASA

Isu Kampung Sungai Baru: Pemilik rumah nafi terlibat insiden OCPD cedera

KUALA LUMPUR – Insiden kecederaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru semalam dikatakan tidak melibatkan penduduk setempat.

Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzzafar Razman menjelaskan, semasa kejadian, penduduk yang terjejas berada di dalam kediaman masing-masing.

“Apa yang saya nak jelaskan kejadian semalam (kecoh sehingga Silizmie cedera) tidak ada kaitan langsung dengan penduduk.

“Kami hanya berada di rumah masing-masing dan tidak ada sebarang provokasi atau propaganda daripada pihak penduduk,” katanya pada sidang Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.

Muzaffar menambah, penduduk turut kecewa terhadap insiden yang mencederakan anggota polis dan orang awam kerana kejadian itu sepatutnya tidak berlaku.

Jelasnya, perkara utama yang dipersoalkan ialah tindakan drastik melaksanakan operasi tersebut, sedangkan beberapa kes berkaitan tanah berkenaan masih menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Perintah dikeluarkan mahkamah hanya membenarkan pintu atau tingkap dipecah masuk untuk dikunci semula, bukannya merobohkan rumah. Tetapi pihak berkuasa mentafsirkannya sehingga berlaku perobohan.

“Kami benar-benar tergamam dengan tindakan tersebut. Ia detik hitam kerana jelas perintah tidak menyebut perobohan, namun ia tetap dilakukan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata tiga lelaki ditahan untuk siasatan kes kecederaan menimpa Sulizmie Affendy.

Sulizmie kemudian menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button