4WD langgar penunggang motosikal: 5 lelaki ditahan polis
SHAH ALAM – Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu video tular memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar seorang penunggang motosikal di Kampung Sungai Jernih, Kajang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesan rakaman video tersebut di media sosial pada kira-kira jam 11.41 pagi hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati insiden tersebut berpunca daripada perselisihan faham peribadi antara dua pihak yang berkaitan dengan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan.
“Polis telah menerima dua laporan berasingan dan bertindak menahan dua lelaki bagi kes pertama, terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang bukan warga tempatan berumur antara 30 hingga 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, bagi kes kedua, tiga lagi lelaki warga tempatan berumur antara 24 hingga 38 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, suspek dalam kes pertama merupakan pengadu dalam kes kedua, manakala pengadu dalam kes kedua pula merupakan suspek dalam kes pertama.
Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 307, Seksyen 279, Seksyen 395 dan Seksyen 365.
Shazeli menegaskan insiden tersebut tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman, sebaliknya berpunca daripada pertikaian peribadi.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








