12 anggota polis termasuk pegawai JSJK Bukit Aman ditahan kes rompak kripto RM200,000
KAJANG – Seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes rompakan berkumpulan membabitkan mata wang kripto dianggarkan bernilai RM200,000 milik sekumpulan warga China, awal bulan ini.
Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 47 tahun itu terdiri daripada seorang Asisten Superintendan, seorang Inspektor, seorang Sarjan, enam Koperal, dua Lans Koperal dan seorang Konstabel.
Menurut sumber, tangkapan dibuat dalam beberapa operasi berasingan oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah dalam tempoh dua hari susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki warga China berusia 31 tahun.
Mangsa yang bekerja sebagai juru ukur pasaran mendakwa dia bersama tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto sebagai syarat pembebasan selepas banglo dua tingkat yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights di sini diserbu sekumpulan anggota polis pada 5 Februari lalu, kira-kira jam 11.10 malam.
Difahamkan, serbuan itu dilakukan atas alasan menjalankan operasi anti-penipuan dikenali sebagai ‘Op Taring’ dengan dakwaan penghuni premis terbabit terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap peranti elektronik dan dokumen perjalanan mendapati tiada bukti kegiatan jenayah ditemui, malah tiada rekod menunjukkan mangsa dan rakannya pernah ke Kemboja.
Sumber berkata, kumpulan berkenaan kemudian didakwa diugut akan ditahan serta dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar sejumlah wang kepada anggota terbabit.
“Pada mulanya mereka diminta membayar RM400,000. Namun selepas rundingan dibuat dengan majikan mangsa di China, suspek didakwa bersetuju menerima 50,000 USDT (mata wang kripto tether).
“Bayaran dipindahkan ke alamat dompet kripto yang diberikan dan hanya selepas transaksi disahkan, kumpulan anggota terbabit meninggalkan premis berkenaan,” memetik Harian Metro Online.
Sebelum beredar, suspek turut didakwa mengarahkan mangsa serta rakannya mengosongkan rumah dalam tempoh dua hari atau berdepan tindakan lanjut.
Siasatan awal membawa kepada penahanan tujuh anggota daripada unit JSJK dan pencegahan jenayah daerah.
Risikan lanjut kemudiannya mendedahkan pembabitan lima lagi anggota termasuk empat yang bertugas di unit siber dan forensik digital JSJK Bukit Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.
Polis turut merampas beberapa telefon bimbit, kad SIM serta dokumen dipercayai berkaitan kes.
Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kajang dan Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan termasuk menjejak transaksi mata wang kripto berkenaan.
Tempoh reman kedua-dua kumpulan suspek dilaporkan dilanjutkan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak berkuasa memandang serius dakwaan yang mencalar imej pasukan keselamatan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








