Kes treler bawa helikopter cetus gangguan lalu lintas disiasat polis
SUBANG JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan sebuah treler membawa muatan helikopter sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala ke susur Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 4 Disember lalu kira-kira pukul 4.30 petang, apabila treler berkenaan yang membawa muatan helikopter gagal melalui susur jalan berkenaan kerana muatannya terlalu panjang.
“Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius dan turut mengganggu pergerakan sebuah ambulans yang berada di lokasi ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, setakat ini nombor pendaftaran treler terbabit masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Kaedah Rule 9(2) LN 166/59.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








