10 remaja perempuan Israel ditahan selepas ceroboh sempadan Lubnan
BAITULMAQDIS – Pihak berkuasa Israel menahan 10 remaja perempuan semalam selepas mereka menceroboh sempadan ke selatan Lubnan dengan tujuan mempromosikan pembinaan penempatan haram Zionis di kawasan berkenaan.
Menurut laporan Roya News, kira-kira 40 individu termasuk beberapa keluarga cuba memasuki wilayah Lubnan secara haram.
Daripada jumlah itu, 10 remaja perempuan berjaya melepasi sempadan sebelum ditahan pihak berkuasa dan diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Seorang lagi peserta dilaporkan turut ditahan selepas dipercayai menyeberangi sempadan bersama seorang kanak-kanak kecil.
Dalam temu bual dengan portal berita Israel, Ynet, ketika cuba mengelak daripada dikesan pasukan keselamatan, kumpulan remaja itu mengakui mereka memasuki negara itu bagi merealisasikan hasrat membina penempatan Israel di wilayah tersebut.
“Kami perlu membina penempatan di kawasan ini untuk memenangi peperangan. Jika kami tidak berbuat demikian sekarang, semua kejayaan perang ini akan hilang seperti yang berlaku selepas Perang Lubnan Pertama, Perang Lubnan Kedua dan di Gaza,” kata mereka.
Mereka turut mendakwa sedang berusaha mempengaruhi pandangan masyarakat serta dasar kerajaan Israel supaya menyokong pembinaan penempatan di sana.
Insiden itu berlaku ketika tentera Israel melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di selatan Lubnan yang didakwa sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai pelanggaran gencatan senjata oleh Hezbollah.
Media Israel melaporkan operasi pencarian tambahan turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi orang awam Israel yang masih berada di seberang sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








