JENAYAH & MAHKAMAH

Aktivis disambung reman dua hari bantu siasatan kes ceroboh

KANGAR – Seorang aktivis yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan berhubung hantaran TikTok berbaur hasutan, disambung reman selama dua hari lagi bagi membantu siasatan kes pencerobohan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 56 tahun itu direman sehingga Isnin selepas permohonan reman diluluskan Mahkamah Majistret Kangar hari ini.

Menurut beliau, perintah reman terhadap Orang Kena Tahan (OKT) berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

“Perintah permohonan reman terhadap seorang OKT telah diluluskan selama dua hari bermula hari ini oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar kira-kira jam 9.56 pagi bagi proses permohonan reman sebelum selesai kira-kira sejam kemudian.

Pada 4 September lalu, suspek yang juga seorang jururunding direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran TikTok yang didakwa berbaur hasutan berkaitan isu perobohan sebuah kuil Hindu di Bukit Lagi, dekat sini.

Tempoh reman tersebut tamat pada Ahad sebelum suspek ditahan semula bagi membantu siasatan kes pencerobohan jenayah.

Siasatan berhubung penahanan terdahulu dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button