Kenderaan jatuh gaung: JKR buat laporan polis penutupan jalan diceroboh
HULU TERENGGANU – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan papan tanda amaran serta penghadang konkrit telah lama dipasang di laluan Tasik Kenyir-Felda Aring selepas diisytihar tutup susulan kejadian tanah runtuh pada November tahun lalu.
Penegasan itu dibuat susulan kejadian tragis membabitkan sepasang bakal pengantin yang maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52, jalan berkenaan semalam.
Dalam kejadian pukul pukul 5.30 petang itu, Hassan Shazali, 52, seorang guru, serta pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penutupan jalan tersebut telah diwartakan mengikut Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987, melibatkan sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30.
Beliau berkata, pemantauan penutupan laluan turut dilakukan secara berterusan oleh konsesi penyelenggaraan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.
“KKR memandang serius insiden ini kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya. Orang awam perlu mematuhi arahan keselamatan dan tanda penutupan yang telah dipasang di lokasi bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta menjelaskan, JKR telah bertindak segera dengan memasang papan tanda amaran, sekatan konkrit di kedua-dua arah serta membuat laporan polis terhadap pencerobohan laluan tertutup.
Sementara itu, kementerian memaklumkan projek pembinaan jambatan baharu di FT036, Seksyen 89 dari Jalan Aring 8 ke Kuala Jeneris bernilai RM36 juta telah diluluskan.
“Status terkini projek berada di peringkat perolehan dan Surat Setuju Terima dijangka diserahkan pada suku keempat Disember 2025,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








