POLITIK

PRN Melaka: Rundingan rasmi kerjasama politik selepas DUN dibubarkan – Ahmad Zahid

SERDANG – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan rundingan rasmi mengenai kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas Dewan Undangan Ngeri (DUN) berkenaan dibubarkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan rasmi akan diketuai Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kita serahkan kepada (Datuk Seri) Rauf Yusoh dan saya fikir beliau akan mengadakan perbincangan rasmi selepas DUN Melaka dibubarkan,” katanya selepas hadir melancarkan Laman Usahawan Desa@Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan, di sini hari ini.

Zahid berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan seluruh Biro Politik UMNO Melaka yang telah membentangkan dapatan mereka kepada kepimpinan parti.

Katanya, perkara itu kemudiannya akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi dibincangkan.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari bahawa beliau telah menghubungi Rauf yang memaklumkan bahawa beliau masih menunggu keputusan kepimpinan pusat BN dan UMNO sebelum meneruskan perbincangan, Zahid berkata, kemungkinan perbincangan tidak rasmi telah pun berlangsung.

“Mungkin sudah ada perbincangan tidak rasmi pada peringkat ini, tetapi rundingan akan diadakan selepas DUN dibubarkan,” katanya lagi.

Semalam, Amirudin berkata PH bersedia memulakan rundingan pembahagian kerusi dengan BN bagi PRN Melaka, namun perbincangan itu masih menunggu beberapa keputusan dasar di peringkat pusat UMNO dan BN.

Amirudin berkata beliau telah menghubungi Rauf yang memaklumkan bahawa beliau sedang menunggu keputusan berkenaan sebelum meneruskan perbincangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button