POLITIK

BERSATU masih ahli komponen PN dari segi undang-undang – Takiyuddin

KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kekal sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) dari sudut undang-undang, meskipun PAS menghentikan hubungan politiknya dengan parti berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, status BERSATU itu tidak boleh dinafikan dari perspektif undang-undang dan perlembagaan, lapor portal NST.

“Sebagai Setiausaha Agung, saya boleh sahkan bahawa dari segi undang-undang, BERSATU masih merupakan parti komponen PN.

“Kita tidak boleh menafikan perkara itu dari sudut perlembagaan. Tetapi dari segi moral dan politik, sebab itu saya gunakan perkataan ‘secara teknikal’, BERSATU sudah tidak lagi mempunyai hubungan dengan PN,” katanya, hari ini.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, terdapat dua konteks yang perlu dibezakan, iaitu hubungan antara BERSATU dengan PAS serta hubungan BERSATU dengan PN.

Katanya, keputusan BERSATU menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini dan meletakkan calon atas tiket parti sendiri menunjukkan parti itu secara berkesan telah menjauhkan diri daripada PN.

“Bagi kita, secara teknikalnya mereka telah keluar. Kedua, mereka bertanding menggunakan logo BERSATU, bukan PN.

“Jadi, tidak ada lagi persefahaman politik antara PAS dan BERSATU. Ia sudah berakhir,” katanya.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, PAS sengaja memilih untuk menyifatkan tindakan itu sebagai “menghentikan” hubungan politik dengan BERSATU dan bukannya mengatakan hubungan berkenaan “telah diputuskan”.

“Kita gunakan perkataan ‘kita menghentikan hubungan’. Kita hentikan hubungan politik dengan BERSATU.

“Kita tidak kata kita putuskan. Kita kata kita hentikan,” katanya.

Kelamrin, Presiden PAS< Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keretakan hubungan antara anggota komponen PN itu semakin melebar selepas PAS mengumumkan bahawa pintu untuk perdamaian antara kedua-dua parti itu telah tertutup.

Beliau berkata pendirian itu susulan keputusan BERSATU untuk bertanding menentang PN pada PRN Negeri Sembilan lalu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan berkenaan turut diburukkan dengan kenyataan pemimpin BERSATU mengenai kemungkinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button