Hari Kebangsaan: PPj sahkan struktur Human Graphic selamat digunakan
PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) mengesahkan struktur Human Graphic yang digunakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 selamat digunakan selepas menjalani pemeriksaan keselamatan terkini semalam.
Presidennya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadin berkata, PPj mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan orang ramai berhubung pergerakan struktur berkenaan dan telah melaksanakan pemeriksaan serta pengesahan keselamatan semula pada 29 Ogos lalu.
Menurut beliau, struktur sementara itu dipasang oleh kontraktor yang dilantik mengikut spesifikasi teknikal dan keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“Struktur tersebut turut diperiksa oleh jurutera bertauliah daripada pihak kontraktor dan diberikan Green Tag selepas melalui proses pemeriksaan oleh pihak yang kompeten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, pergerakan yang dapat dilihat pada struktur berkenaan mungkin menimbulkan kebimbangan, namun penilaian keselamatan telah dibuat berdasarkan aspek kejuruteraan termasuk reka bentuk, kaedah pemasangan, kestabilan, kapasiti beban dan keadaan tapak.
“Pemeriksaan turut dilaksanakan sebelum dan selepas penggunaan sepanjang tempoh latihan serta raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
“PPj bersama kontraktor akan terus memantau keadaan struktur dan sebarang perubahan yang boleh menjejaskan kestabilannya akan diikuti dengan kerja pembaikan serta pemeriksaan teknikal semula sebelum struktur digunakan,” katanya lagi.
Mohd Sakeri berkata, keselamatan orang awam, petugas dan peserta kekal menjadi keutamaan PPj dalam memastikan segala persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








