BERITA SEMASA

Bayi enam bulan cedera, ibu bapa maut dalam nahas di Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri maut manakala bayi mereka berusia enam bulan cedera selepas kereta dinaiki tiga beranak itu terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, pemandu Perodua Myvi, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isterinya Nur Fatihah Othman, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Bayi enam bulan cedera, ibu bapa maut dalam nahas di Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi.
Suami Isteri yang terbabit dalam kemalangan

Bayi mereka, Nur Laylaa Batrysha, yang berada di kerusi keselamatan kanak-kanak, cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku apabila Myvi berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori kelapa sawit tanpa muatan.

Bayi yang terselamat kemalangan – FOTO FB

“Serpihan kenderaan daripada perlanggaran itu kemudian terkena sebuah Toyota Vios yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, pemandu lori berusia 47 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Vios berusia 46 tahun tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kisah keluarga itu turut menarik perhatian orang ramai yang menzahirkan rasa simpati terhadap bayi berkenaan serta mendoakan agar arwah pasangan suami isteri itu ditempatkan dalam kalangan yang dirahmati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button