HIBURANLUAR NEGARA

Macklemore pertahan ‘Free Palestine’ walau digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Macklemore mendakwa keputusan menggugurkannya daripada jelajah Ed Sheeran dibuat selepas wujud tekanan daripada pemilik beberapa stadium susulan pendiriannya menyokong Palestin.

Macklemore berkata, Ed Sheeran dan pasukannya membuat keputusan untuk menyingkirkannya daripada jelajah The Loop selepas beliau melaungkan “Free Palestine” ketika membuat persembahan di Stadium MetLife, AS, awal bulan ini.

Katanya, Ed memberitahunya bahawa Robert Kraft menghubunginya selepas persembahan itu dan memaklumkan Macklemore tidak dibenarkan membuat persembahan di Stadium Gillette, yang dimiliki Kraft Group.

“Ed memberitahu saya bahawa Kraft telah mengumpulkan beberapa pemilik stadium lain dan mereka secara bersama memberikan kata dua: jika Macklemore kekal dalam jelajah, anda tidak akan dibenarkan membuat persembahan di venue kami,” katanya dalam kenyataan di Instagram.

Macklemore berkata, beliau memahami kedudukan sukar yang dihadapi Ed, namun mereka tetap mempunyai perbezaan pandangan yang ketara mengenai pendirian terhadap konflik Palestin.

Menurutnya, Ed memberitahu bahawa ungkapan “Free Palestine” dan imej bendera Palestin yang dipaparkan ketika persembahan itu menyinggung perasaan ramai individu yang ditemuinya.

“Saya memberitahunya, jika kata-kata itu lebih menyinggung daripada puluhan ribu kanak-kanak Palestin yang dibunuh oleh Israel, maka terdapat perbezaan asas antara pendirian mereka dengan pendirian saya,” katanya.

Macklemore turut menegaskan bahawa beliau dan Ed merupakan sahabat sejak 13 tahun lalu, malah menganggap penyanyi Britain itu seperti saudara selepas melalui pelbagai pengalaman bersama termasuk bekerja di studio dan membuat persembahan di pentas yang sama.

Katanya, perbezaan pandangan itu bukan sesuatu yang mudah kerana kedua-duanya masih mempunyai rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Macklemore berkata, hubungan persahabatan tidak mengubah tanggungjawabnya untuk menyuarakan perkara yang dipercayainya benar, khususnya berkaitan nasib rakyat Palestin.

Macklemore turut menolak anggapan bahawa dirinya atau Ed adalah mangsa dalam situasi berkenaan, sebaliknya berkata mangsa sebenar adalah rakyat Palestin yang menurutnya terbunuh, kebuluran dan dipindahkan dari kediaman mereka.

“Saya bukan mangsa. Ed Sheeran bukan mangsa. Pink bukan mangsa. Kami mempunyai kerjaya, wang, peluang, keselamatan dan penonton di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Macklemore berkata pendirian berkecuali dalam konflik berkenaan bukan pilihan yang neutral apabila wujud ketidakseimbangan antara pihak yang dianggapnya menindas dan ditindas.

Beliau turut menyentuh mengenai isu antisemitisme, dengan mengakui perkara itu adalah isu sebenar, namun berpendapat istilah berkenaan tidak seharusnya digunakan sebagai perisai untuk menghalang kritikan terhadap kerajaan Israel.

Macklemore berkata, beliau sudah melaungkan “Free Palestine” di pentas seluruh dunia sejak hampir tiga tahun lalu, namun menyedari ungkapan itu mempunyai kesan berbeza apabila dibuat di hadapan penonton dalam stadium terbesar di AS.

Menurutnya, beliau sedar pendirian berkenaan boleh menyebabkan kehilangan peluang, penajaan, tawaran persembahan dan hubungan profesional, namun tetap memilih untuk menyuarakannya.

Macklemore turut berharap kontroversi berkenaan tidak menamatkan persahabatannya dengan Ed dan kedua-duanya masih boleh meneruskan perbincangan mengenai Palestin.

Katanya, beliau tidak memerlukan banyak persembahan bersama Ed, sebaliknya hanya memerlukan peluang untuk menyampaikan mesejnya kepada penonton dalam jumlah besar.

“Saya tidak memerlukan 10 persembahan daripada Ed. Saya hanya memerlukan dua. Dua peluang untuk berdiri di hadapan 90,000 orang dan menyebut kata-kata yang entah bagaimana menjadi terlalu berbahaya untuk disebut.

“Free Palestine,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button