Solidariti Palestin: Netizen gesa radio tempatan hentikan lagu Ed Sheeran
KUALA LUMPUR – Stesen radio tempatan diminta mengambil pendirian berhubung isu Palestin dengan menghentikan penyiaran karya Ed Sheeran, susulan kontroversi yang mengaitkan penyanyi Britain itu dengan isu Macklemore.
Gesaan berkenaan disuarakan ramai pengguna platform Threads yang mahu semua saluran penyiar sepakat mengambil tindakan tegas dengan tidak lagi memainkan lagu penyanyi berusia 35 tahun itu atau berdepan tindakan boikot pendengar.
“Boleh tak berhenti mainkan lagu Ed Sheeran? Banyak lagi artis berbakat lain yang boleh dimainkan. Bila radio terus mainkan lagu Ed, saya rasa macam memperlekehkan Macklemore,” tulis seorang pengguna Threads.
Baca juga : Macklemore pertahan ‘Free Palestine’ walau digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran
Perkembangan itu dipercayai tercetus susulan tindakan menggugurkan rapper Amerika Syarikat, Macklemore sebagai penyanyi pembuka bagi baki siri jelajah Loop Tour Ed Sheeran di Amerika Utara.
Macklemore, yang sudah mengenali Sheeran selama 13 tahun, didakwa berdepan keputusan berkenaan susulan kelantangannya menyuarakan isu Gaza dan Palestin ketika mengadakan persembahan.
Namun, Sheeran menjelaskan keputusan berkenaan bukan terletak pada dirinya, sebaliknya membabitkan beberapa pihak termasuk pemilik stadium yang menyatakan bantahan sekiranya Macklemore meneruskan penglibatan bersama rombongan jelajah itu.
Menurut Sheeran, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur, pengendali tempat acara serta beberapa pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian, tetapi keputusan muktamad bukan di bawah kuasanya.
Penyanyi yang meraih empat Anugerah Grammy itu sebelum ini tidak menyembunyikan sokongannya terhadap Palestin, termasuk melaungkan ‘Free Palestine’ ketika membuat persembahan serta menyampaikan lagu berunsur protes, Hind’s Hall.
Isu terbabit kemudiannya mendapat perhatian pengguna Threads yang mula mencetuskan perbincangan mengenai kemungkinan mengambil tindakan terhadap lagu Sheeran yang masih dimainkan di stesen radio tempatan.
Antara karya Sheeran yang sering mendapat putaran stesen radio ialah Shape of You, Perfect, Thinking Out Loud dan Photograph, sekali gus menjadikannya antara penyanyi popular dalam industri muzik dunia.
Dalam perkembangan sama, beberapa pengguna media sosial turut mencadangkan agar penyanyi Amerika Syarikat, Pink dikenakan tindakan sama berikutan pendiriannya sebagai penyokong tegar Israel serta kecamannya terhadap Macklemore kerana lantang menyuarakan isu berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








