BERITA SEMASA

Armada Global Sumud Flotilla dijangka tiba di Gaza lewat 4 hari

SEPANG – Armada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka mengalami kelewatan empat hari untuk tiba di Gaza susulan masalah teknikal yang dihadapi sebuah kapal pengiringnya, Johnny M.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal berkenaan mengalami kebocoran di ruang enjin sehingga dimasuki air pada awal pagi waktu tempatan, sekali gus memaksa ia menghentikan pelayaran yang kini berada pada kedudukan 366 batu nautika dari pesisir Gaza.

“Semua peserta termasuk enam wakil Malaysia yang berada di atas kapal Johnny M berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal lain pada pukul 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).

“SNCC menjangkakan misi berdepan kelewatan empat hari ke zon merah dan Gaza pada 2 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sani turut menafikan dakwaan wujud insiden kebakaran membabitkan kapal yang membawa delegasi Malaysia.

Malah ujarnya, semua pihak perlu merujuk kepada maklumat rasmi daripada GSF bagi mengelak sebarang propaganda serta berita palsu.

Global Sumud Flotilla
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas bagi membantu rakyat Palestin.

“Sekretariat menegaskan bahawa Misi Flotilla tetap diteruskan ke Gaza.

“Pihak SNCC menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat yang mendokong untuk terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya.

Misi GSF menghimpunkan lebih 1,000 aktivis kemanusiaan dari 44 buah negara dengan matlamat memecahkan kepungan rejim Zionis di Gaza dan membawa bantuan barangan buat rakyat di sana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button