BERITA SEMASALUAR NEGARA

Malaysia kecam serangan Israel ke atas hospital di Gaza, desak dunia bertindak

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam keras serangan udara rejim Israel yang menyasarkan Hospital Nasser di Khan Younis, Gaza pada 25 Ogos lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 nyawa termasuk petugas perubatan dan wartawan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan tindakan menjadikan hospital, petugas kemanusiaan serta wartawan sebagai sasaran merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.

Ia termasuklah Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas melarang serangan ke atas fasiliti perubatan dan media.

“Serangan seumpama ini adalah jenayah perang yang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman. Tindakan disengajakan terhadap wartawan bukan sahaja keji kerana meragut nyawa tidak berdosa, malah merupakan serangan terus kepada kebebasan media,” menurut kenyataan itu, semalam.

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), bertindak segera menghentikan kekejaman Israel serta memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

“Negara ini juga menyeru semua pihak melipatgandakan usaha ke arah keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan berasaskan hak asasi rakyat Palestin, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut laporan media antarabangsa, antara yang terbunuh dalam serangan itu ialah empat petugas kesihatan serta lima wartawan iaitu Ahed Abu Aziz, Hussam al-Masri, Mariam Dagga, Mohammed Salama dan Moaz Abu Taha.

Mereka berkhidmat dengan agensi antarabangsa termasuk Middle East Eye, Associated Press, Al Jazeera dan Reuters.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button