BERITA SEMASAPMX

Luka apartheid wajar jadi iktibar, hentikan pembantaian Gaza – Anwar

KUALA LUMPUR – Dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku di Gaza serta konflik berpanjangan di Sudan dan Ukraine, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menggunakan pentas Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg semalam, Anwar berkata, perhimpunan itu berlangsung di benua yang pernah menanggung ‘luka apartheid’.

Justeru, beliau berkata, pengalaman tragis tersebut wajar dijadikan peringatan supaya masyarakat antarabangsa bertindak menghentikan segala bentuk penindasan dan pembantaian.

“Malaysia turut berkongsi pengalaman ASEAN dalam menangani tekanan geopolitik, dampak tarif, kelembapan rantaian bekalan dan perubahan teknologi yang pesat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengajaran daripada cabaran rantau ini menunjukkan bahawa ketahanan sesebuah negara tidak akan terhasil melalui pengasingan, sebaliknya melalui dasar yang sepadu serta kerangka peraturan yang jelas dan boleh dijangka.

Perdana Menteri turut menegaskan gelombang kecerdasan buatan (AI) bakal mengubah struktur pasaran kerja, sekali gus menjadi lebih kompleks sekiranya negara tidak bersedia menghadapi perubahan itu.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, dunia tidak akan mampu membina daya tahan global jika terus dibebani kelesuan fiskal, sedangkan banyak negara kini terpaksa berbelanja lebih untuk menangani hutang berbanding pelaburan dalam pendidikan.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk melabur sebelum krisis melanda, bukan selepasnya, sambil menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua rakan antarabangsa.

“Langkah tersebut penting bagi memperkukuh ekonomi global yang terbuka, stabil dan menjamin peluang adil kepada setiap individu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button