Anwar ucap tahniah kepada Azizulhasni raih emas keirin Glasgow 2026
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan mencipta sejarah dengan menjuarai acara keirin lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, Anwar menyifatkan kejayaan itu sebagai penutup penantian selama 16 tahun buat pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman untuk bergelar juara keirin di pentas Komanwel.
“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur. Ia bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat,” katanya.
Terdahulu, Azizulhasni menghadiahkan pingat emas acara keirin lelaki selepas menewaskan pelumba Australia, Leigh Hoffman yang meraih perak, manakala gangsa menjadi milik wakil England, Harry Ledingham-Horn pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi.
Sebagai rekod, Azizulhasni yang membuat penampilan keempat di Sukan Komanwel sebelum ini pernah memenangi pingat gangsa acara pecut berpasukan pada edisi New Delhi 2010 dan gangsa acara keirin pada Glasgow 2014.
Kejayaan terbaharu itu turut menyumbang pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia di Glasgow 2026 dan menjadi emas pertama skuad berbasikal trek negara pada temasya kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















