Anwar kecewa MB Johor tidak hadir mesyuarat penyelarasan Kerajaan Persekutuan
SENGGERANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan ketidakhadiran Menteri Besar Johor dalam mesyuarat bersama Kerajaan Persekutuan yang melibatkan semua Menteri Besar, Premier, dan Ketua Menteri bagi membincangkan agenda pembangunan negeri.
Anwar berkata, walaupun mesyuarat di Kuala Lumpur dua hari lalu itu dihadiri oleh barisan pemimpin kerajaan negeri dari seluruh negara, Anwar mendakwa Johor tidak memberikan keutamaan terhadap pertemuan penting tersebut.
“Saya panggil semua Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri bermesyuarat di Kuala Lumpur. Premier Sarawak datang, semua Menteri Besar datang, semua Ketua Menteri datang.
“Tapi kadang-kadang Johor ingat itu tidak penting,” katanya ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan pelbagai agenda pembangunan negeri serta kepentingan rakyat, justeru kehadiran setiap pemimpin negeri adalah amat mustahak bagi memastikan penyelarasan yang berkesan.
“Kita nak bincang masalah negeri, bagaimana hendak bangunkan negeri. Apa masalahnya? Sebab itu saya harap rakyat, khususnya golongan muda, faham kepentingan memilih pemimpin yang berprinsip dan bertanggungjawab,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sesuatu kaum tidak akan rugi jika dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti dan berprinsip, sebaliknya kerugian berlaku apabila pemimpin bersikap sombong serta gagal memanfaatkan peluang yang diberikan rakyat.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa pentadbirannya mengutamakan kepentingan pihak tertentu, sebaliknya menegaskan komitmennya adalah untuk mentadbir negara secara berintegriti dan memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















