BERITA SEMASA

PM zahir taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan sempena Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen beliau bersama seluruh rakyat Malaysia untuk terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda atas sambutan berkenaan.

Beliau berkata, bagi pihak Kerajaan MADANI dan rakyat Malaysia, doa dipanjatkan agar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta seluruh kerabat diraja sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT.

Menurutnya, institusi diraja terus memainkan peranan penting sebagai pelindung agama Islam selain menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Semoga Baginda Tuanku kekal memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Anwar berkata, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara perlu terus dihormati selaras dengan fungsi institusi diraja dalam sistem pemerintahan negara.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan harapan agar Sultan Ibrahim terus dikurniakan keafiatan dan kebijaksanaan dalam memayungi negara demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Malaysia.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.

“Dirgahayu Tuanku!” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button