BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kawal selia AI: MCMC tekankan keseimbangan lindungi pengguna, galak inovasi

KUALA LUMPUR – Badan kawal selia komunikasi dan multimedia perlu mencari keseimbangan antara melindungi pengguna dan memastikan inovasi kecerdasan buatan (AI) terus berkembang.

Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, cabaran utama pengawal selia ketika ini adalah memastikan kerangka kawal selia kekal relevan tanpa mengekang kepesatan inovasi dan penggunaan AI.

Menurutnya, perkembangan serta penggunaan AI berlaku pada kadar yang amat pantas dan meluas, sekali gus memerlukan pendekatan kawal selia yang seimbang bagi memastikan teknologi berkenaan digunakan dengan lebih selamat serta mengurangkan risiko kemudaratan.

ā€œCabaran terbesar bagi pengawal selia adalah mencari keseimbangan kerana pada masa ini, jika kita melihat kepada kelajuan inovasi dan penggunaan AI, ia begitu meluas.

ā€œPada masa sama, pengawal selia di seluruh dunia melihat bagaimana mencari keseimbangan antara keperluan menyediakan penggunaan AI yang lebih selamat dan mencegah kemudaratan daripada penggunaan AI,ā€ katanya ketika ditemu bual sempena Persidangan M360 ASEAN di sini hari ini.

Baca juga : M360 ASEAN: Nilai penciptaan, kepercayaan digital asas ekosistem AI ASEAN

Zurkarnain berkata, kewujudan kerangka kawal selia semata-mata tidak mencukupi kerana penglibatan penyedia dan pencipta AI amat diperlukan bagi memberikan kepastian mengenai peraturan yang perlu dipatuhi.

Katanya, kepastian terhadap peraturan permainan penting kepada pelabur kerana tanpa kepastian itu, usaha untuk mempercepatkan inovasi boleh berdepan cabaran.

Beliau berkata, perkara itu menjadi lebih kompleks apabila AI digunakan merentasi pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, kewangan serta penyediaan maklumat berkaitan agama.

ā€œJika kita melihat kepada skop, kedalaman dan keluasan industri yang menggunakan AI, ia sangat meluas.

ā€œJadi, apa yang penting ialah kewujudan pendekatan yang berkadar, termasuk kerangka yang menetapkan peraturan serta skop dan akauntabiliti penyedia AI,ā€ katanya.

Zurkarnain turut menekankan kepentingan maklum balas pengguna dalam memastikan pembangunan AI lebih selamat, khususnya melalui pengalaman pengguna, aduan, insiden, pengesahan dan laporan.

Katanya, maklum balas berkenaan perlu distrukturkan daripada maklumat yang tidak tersusun kepada pembelajaran yang boleh digunakan untuk meningkatkan keselamatan AI, sekali gus menjadikan pengguna sebahagian daripada proses penciptaan bersama dalam ekosistem digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button