Malaysia berpotensi jadi peneraju keselamatan siber di ASEAN 2025 – PM
KUALA LUMPUR – Kapasiti negara yang tinggi dalam keselamatan siber bakal memberikan manfaat signifikan sepanjang kepimpinan sebagai Pengerusi ASEAN, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pihaknya menyokong usaha Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk terus meneraju insiatif pengukuhan keselamatan siber negara terutamanya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Beliau berkata, selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025, penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 serta penyediaan Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) yang baharu akan mengukuhkan strategi dan inisiatif berkaitan keselamatan siber negara.
“Malaysia berada dalam kapasiti yang tinggi untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber dan ianya bakal memberi impak positif sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Semalam, Perdana Menteri telah mendengar pembentangan terkait situasi keselamatan siber negara yang semakin mencabar dan kompleks semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2024.
Anwar berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang dimulakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan turut membuka ruang kepada penyelidik-penyelidik daripada universiti lain untuk turut terlibat.
“Pusat ini perlu inklusif dengan penglibatan pakar, intelektual dan sektor swasta yang mampu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi kriptografi.
“Kita tidak ketandusan pakar dalam bidang ini namun harus memastikan terdapat kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri serta keutamaan memelihara ekosistem keselamatan siber negara,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Malaysia menyertai Budapest Convention dan United Nation Convention against Cybercrime bagi menunjukkan komitmen negara dalam menangani jenayah siber di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Saya juga zahirkan sokongan supaya satu rang undang-undang jenayah siber digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








