BERITA SEMASAPMX

Anwar seru perpaduan, tekad jayakan Malaysia MADANI pada 2026

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melangkah ke tahun 2026 dengan semangat kebersamaan yang kukuh serta tekad yang jitu dalam memperkukuh perpaduan nasional dan menjayakan agenda reformasi negara secara berterusan.

Mesyuarat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan amanah dengan penuh keberanian, kejujuran dan ihsan bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat tanpa terkecuali.

“Kerajaan MADANI akan terus bekerja dengan amanah, keberanian dan ihsan, beriltizam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran demi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjamin masa depan negara yang lebih terjamin dan sejahtera,” katanya dalam perutusan sempena kedatangan Tahun Baharu 2026 di media sosial hari ini.

Menurut Anwar, kejayaan membina negara yang adil, makmur dan berdaya tahan hanya dapat dicapai sekiranya seluruh rakyat bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad dalam menjayakan gagasan Malaysia MADANI.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi serta memastikan kemakmuran yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

“Saya berharap kita dapat bergerak bersama untuk membina Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

Dalam perutusan sama, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar tahun 2026 menjadi tahun yang lebih cemerlang dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button