M360 ASEAN: Nilai penciptaan, kepercayaan digital asas ekosistem AI ASEAN
KUALA LUMPUR – Nilai penciptaan dan kepercayaan digital perlu menjadi asas kepada kerjasama negara ASEAN dalam membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang selamat, inklusif dan terus menyokong inovasi.
Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, pendekatan lama yang meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengawal selia tidak lagi memadai dalam berdepan teknologi yang berkembang pantas.
Sebaliknya, katanya, era baharu memerlukan pendekatan kawal selia bersama yang membabitkan pengawal selia, industri, penyedia AI, pencipta teknologi dan pengguna.
āApabila kita bercakap mengenai kerjasama dan penyelarasan, ia bukan sahaja antara pengawal selia dalam negara ASEAN, tetapi juga melihat kepada industri serta pengguna di rantau ini,ā katanya ketika ditemu bual sempena Persidangan M360 ASEAN di sini hari ini.
Zurkarnain berkata, nilai penciptaan boleh menjadi satu bahasa bersama yang menyatukan kepentingan setiap pihak, termasuk pengguna yang mahu dilindungi, pelabur yang memerlukan kepastian dan pencipta teknologi yang memerlukan ruang untuk berinovasi.
Menurutnya, nilai kepada pengawal selia pula adalah bagaimana peraturan yang dibangunkan mampu mengurangkan kemudaratan serta memastikan pengguna terus dilindungi.
āApabila kita bercakap mengenai penciptaan bersama, ia adalah mengenai mencipta nilai kepada setiap pemegang taruh. Di situlah kita boleh mencapai keseimbangan,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, pembangunan ekosistem digital yang baik perlu berteraskan nilai penciptaan yang mampan, selamat, inklusif dan mempunyai akauntabiliti.
Katanya, kepercayaan digital juga perlu dilihat sebagai satu nilai yang memberikan kelebihan daya saing kepada penyedia teknologi, selain menggalakkan penerimaan lebih meluas dalam kalangan pengguna.
āDari sudut penyedia, perkara yang mencipta nilai adalah kelebihan daya saing. Kepercayaan adalah kelebihan daya saing.
āBagi pengguna pula, kepercayaan membawa kepada penerimaan dan penggunaan yang lebih meluas,ā katanya.
Zurkarnain berkata, peningkatan keyakinan pengguna terhadap teknologi akan membantu memperluas penyertaan dalam ekonomi digital ASEAN, termasuk melalui penerimaan perkhidmatan yang lebih meluas.
Beliau berkata, langkah membina keyakinan melalui penciptaan bersama dan penyertaan semua pihak penting bagi memastikan AI bukan sahaja meningkatkan prestasi, mengurangkan kos serta mempercepat penyampaian perkhidmatan, malah memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







