BERITA SEMASA

Kes 3R: MCMC perjelas perbezaan denda terhadap Era FM, Harith Iskander serta Cecelia Yap

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjawab persoalan mengenai perbandingan jumlah denda yang dikenakan terhadap Maestra Broadcasting, syarikat yang mengendalikan Era FM, dengan hukuman ke atas pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap.

Menurut MCMC, bagi kes yang melibatkan Harith Iskander dan Cecelia Yap yang telah memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025, kompaun RM10,000 telah dikenakan oleh MCMC.

Jelas MCMC, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari tahun ini, di mana denda maksimum adalah RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

“Setelah mengambil kira bahawa kandungan tersebut melibatkan isu kepentingan awam yang telah mewujudkan ketidaktenteraman antara
kaum dan agama, kompaun sebanyak RM250,000 telah ditetapkan terhadap syarikat berkenaan.

“Untuk makluman, di bawah pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman denda maksimum adalah RM500,000 dan penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa jumlah denda terhadap Maestra Broadcasting lebih tinggi kerana ia merupakan sebuah syarikat besar dengan pendapatan tahunan yang tinggi, berbanding Harith yang bertindak sebagai individu.

“Berbeza dengan individu,” kata Fahmi merujuk kepada situasi Harith yang hanya dikenakan denda sebagai orang perseorangan.

Selain itu, Fahmi turut dilaporkan berkata, tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap tiga penyampai radio yang terlibat dalam kontroversi baru-baru ini.

Fahmi berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan MCMC, denda RM250,000 yang dikenakan terhadap pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd sudah memadai.

Terdahulu, tiga penyampai radio Era FM, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy dikecam orang ramai kerana didakwa meniru tarian Kavadi Hindu yang dianggap suci sambil melaungkan “Vel Vel”.

Astro Audio kemudian mengumumkan bahawa ketiga-tiga penyampai radio tersebut digantung siarannya sehingga diberitahu kelak, sementara siasatan dalaman dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button