BERITA SEMASA

Buat hantaran palsu harga barang naik 200 persen, surirumah didenda RM4,000

SEPANG – Seorang surirumah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi bersifat palsu mengenai kenaikan harga barang di platform Threads pada Mac lalu.

Tertuduh, Nor Nadia Ahmad Johari, 34, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, hari ini.

Wanita itu turut mengemukakan rayuan mitigasi bertulis kepada mahkamah yang antara lain memaklumkan dirinya hanya surirumah yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu, mempunyai tiga cahaya mata dan menjaga ayah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Berdasarkan pertuduhan, Nor Nadia yang merupakan ibu kepada tiga orang anak didakwa secara sedar telah menggunakan aplikasi Theads melalui akaun @nur_nadia memuat naik hantaran bersifat palsu ‘Memang 200 persen harga barang akan naik’ dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang yang dilihat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 31 Mac 2026 dan telah dilihat lebih kurang 12.01 tengah hari di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1 di Cyberjaya.

Justeru, Nor Nadia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.

Bersama hantaran tersebut, turut dikongsikan poster mengenai kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa 1 April 2026 yang didakwa dimuat naik oleh Buletin TV3.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Hakim Ahmad Fuad mengingatkan tertuduh supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik hantaran palsu dan tidak benar kerana ia boleh menyebabkan huru-hara dalam kalangan masyarakat.

“Undang-undang dipinda untuk menaikkan lagi hukuman kepada hantaran palsu. Ia bertujuan supaya masyarakat tidak mudah menyebarkan sesuatu maklumat palsu.

“Untuk tindakan awak, walaupun hanya satu komen ada kesannya. MCMC sentiasa memantau setiap hari kerana memang tugas mereka.

“Tugas kita sebagai anggota masyarakat, gunakan aplikasi media sosial sebaiknya, Jangan sebarkan fitnah dan perkara tidak benar yang akan mengakibatkan huru-hara dalam masyarakat,” tegas beliau.

Selepas menimbang hujahan tertuduh dan mengambil kira pertimbangan hujahan semasa, hakim menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan penjara lima bulan jika tidak membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

Selain itu, mahkamah turut memulangkan semula bahan kes iaitu telefon bimbit Iphone 17 Pro kepada tertuduh atas pertimbangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button