Buli siber tidak boleh dinormalisasikan – MCMC
KUALA LUMPUR – Perbuatan buli siber tidak boleh dinormalisasikan atas alasan perbezaan pandangan atau kebebasan bersuara, tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa setiap kebebasan perlu disertai tanggungjawab, khususnya ketika menggunakan media sosial.
Menurut MCMC, kebebasan bersuara dan mengkritik perlu dilaksanakan secara beradab serta bertanggungjawab tanpa gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu.
“Perbuatan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat yang menghormati hak bersuara dan nilai saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MCMC turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan Seri Paduka Baginda mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah dan kebencian.
Menurutnya, usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat akan terus diperkukuh menerusi kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat.
“Sebarang kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
MCMC turut menyeru rakyat supaya menghormati perbezaan pandangan, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta menjaga adab dan maruah orang lain dalam setiap interaksi dalam talian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








