PRIME solusi komunikasi moden ketika bencana atau di lokasi pedalaman
APABILA berlaku sesuatu bencana, talian komunikasi sering kali terputus sekali gus menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan operasi.
Situasi itu menyebabkan mangsa yang mungkin terperangkap di sesebuah lokasi terpaksa menunggu lebih lama sebelum berjaya diselamatkan anggota keselamatan yang terlibat. Malah, sedikit kelewatan yang berlaku boleh mengakibatkan nyawa menjadi taruhan.
Justeru, bagi mengatasi cabaran ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak memperkenalkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang direka khas untuk memastikan kesinambungan komunikasi ketika situasi kritikal.

Solusi komunikasi moden ketika bencana
Sistem PRIME dibangunkan untuk menyediakan rangkaian komunikasi moden di kawasan yang terputus liputan akibat bencana atau di lokasi pedalaman yang tiada infrastruktur komunikasi.
Ia menjadi talian hayat kepada agensi penyelamat, penguatkuasa serta pihak berkuasa tempatan bagi menggerakkan koordinasi misi menyelamat dengan lebih pantas dan berkesan.
Antara teknologi utama yang melengkapi PRIME termasuklah komunikasi satelit untuk kawasan tanpa liputan selular, rangkaian selular mudah alih yang boleh digerakkan ke lokasi bencana dan radio dua hala bagi pasukan operasi di lapangan.
Selain itu, ia turut dilengkapi Wi-Fi hotspot untuk capaian internet segera dan dron bagi memperluaskan liputan dan penghantaran maklumat di kawasan kritikal.
Fungsi utama PRIME
Dalam konteks bencana, PRIME boleh digunakan untuk menyediakan rangkaian komunikasi sementara, menyokong operasi penyelamatan dan koordinasi agensi keselamatan, menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat setempat dan membantu agihan bantuan kemanusiaan dengan lebih teratur.

Bagaimanapun, kegunaan PRIME tidak terhad kepada bencana sahaja. Sebaliknya, sistem itu juga menyokong pelaksanaan program literasi digital di kawasan luar bandar, memperkukuh operasi pusat komuniti digital Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta membantu komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan.
Perkongsian dengan komuniti melalui NADI
Salah satu kelebihan PRIME ialah kaitannya dengan pusat komuniti digital NADI.
Melalui PRIME, komuniti setempat di kawasan pedalaman boleh menikmati akses internet dan maklumat yang lebih baik, sekali gus merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
Aset baharu kesiapsiagaan negara
Sehingga kini, satu unit PRIME telah dilancarkan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia, manakala dua unit tambahan akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak menjelang hujung 2025.

Keutamaan penggunaan diberikan kepada agensi penyelamat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PJPBM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi kerajaan negeri dan daerah.
Dengan adanya PRIME, Malaysia kini memiliki infrastruktur komunikasi bergerak yang mampu digerakkan ke mana sahaja, memastikan tiada jurang komunikasi ketika bencana.
Usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan keberkesanan operasi menyelamat, bahkan melindungi nyawa, harta benda serta mengukuhkan daya tahan negara dalam menghadapi cabaran masa depan.
Untuk maklumat lanjut mengenai PRIME, orang ramai boleh melayari laman web rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my.
Selain itu, sebarang aduan boleh diemel kepada aduan@mcmc.gov.my atau hubungi talian 1800-188-030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








