KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Akses internet sahaja tidak lagi mencukupi, literasi digital cabaran baharu negara – Fahmi

KUALA LUMPUR – Jurang digital pada masa depan bukan lagi hanya berkaitan capaian internet, sebaliknya turut melibatkan tahap literasi digital dan kepercayaan pengguna terhadap sistem teknologi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, akses internet yang pantas perlu disertai kefahaman dalam menggunakan teknologi supaya manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara menyeluruh.

Menurut beliau, kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu kawasan yang sebelum ini dianggap ketinggalan untuk mengejar kemajuan sekiranya mempunyai akses internet yang baik.

“Kita tidak mahu tempat yang mempunyai internet laju dan kefahaman teknologi tinggi sahaja bergerak jauh ke depan.

“Dengan penggunaan AI, kawasan yang mungkin tidak terlalu membangun tetapi mempunyai capaian internet baik masih boleh mengejar dan bergerak lebih pantas,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.

Beliau berkata, ekonomi digital termasuk e-dagang mempunyai potensi besar untuk merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, dua perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kepercayaan digital (digital trust) dan literasi digital.

“Dua perkara paling penting ke depan ialah kepercayaan dalam sistem digital dan literasi digital. Keselamatan siber juga terangkum dalam perkara ini,” katanya.

Fahmi berkata, usaha memperluaskan akses internet perlu berjalan seiring dengan pendidikan penggunaan teknologi agar masyarakat bukan sahaja mampu menggunakan kemudahan digital, malah memahami risiko serta tanggungjawab ketika berada dalam talian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button