BISNES & EKONOMI

MIXUE Malaysia perkukuh pelaburan, fokus pada kualiti, operasi

KUALA LUMPUR – MIXUE Malaysia akan memperkukuh pelaburan dalam aspek kualiti produk, rantaian sejuk, operasi kedai, pemerkasaan rakan francais serta penempatan jenama sebagai sebahagian usaha membina pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan di Malaysia.

Pengurus Besar MIXUE Malaysia, Wang Wei Long berkata, pendekatan itu selaras dengan perubahan fokus Kumpulan MIXUE daripada pertumbuhan dan pengembangan berskala besar kepada aspek keselamatan dan kualiti.

Jelas beliau, keutamaan baharu itu akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu rantaian bekalan, operasi kedai dan harta intelek (IP) jenama.

“MIXUE komited untuk terus berkembang dan membina kehadiran jangka panjang di Malaysia. Bagi kami, ia bukan sekadar tentang mengendalikan kedai, tetapi juga berkembang bersama rakan francais tempatan, warga kerja, pelanggan dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau kemudiannya memberitahu, pendekatan tersebut disampaikan ketika Taklimat Prestasi Pertengahan Tahun 2026 Kumpulan MIXUE yang diadakan, baru-baru ini.

Sehingga Februari 2026, MIXUE Malaysia telah bekerjasama dengan lebih 300 pemilik kedai tempatan, dengan 93.19 peratus daripada rakan francaisnya terdiri daripada warganegara Malaysia.

Syarikat itu juga menyediakan kira-kira 2,900 peluang pekerjaan secara langsung di Malaysia serta latihan berkaitan operasi kedai dan kemahiran kepada lebih 4,000 warga kerja tempatan.

“Sokongan MIXUE Malaysia kepada rakan francais dan kedai sedia ada akan terus diperkukuh menerusi latihan lebih tersusun, piawaian operasi yang jelas serta penggunaan data bagi mempercepatkan maklum balas dan penambahbaikan operasi.

“Dalam masa sama, syarikat akan meneruskan usaha memperkukuh pematuhan halal, termasuk memastikan keperluan berkaitan bahan mentah, penyediaan produk dan operasi kedai dipatuhi, termasuk memperluas rangkaian kedai yang memperoleh Pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya lagi.

Mengenai peningkatan kos operasi, MIXUE Malaysia komited terhadap prinsip “Kualiti Dipertingkat, Harga Kekal Berpatutan”.

“(Sehubungan itu), kos peningkatan kualiti tidak akan dipindahkan secara langsung kepada pelanggan atau rakan francais, sebaliknya diurus secara berperingkat menerusi peningkatan kecekapan rantaian bekalan, manfaat skala operasi dan pengukuhan operasi digital,” katanya lagi.

Dalam aspek penempatan jenama, MIXUE Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan IP Snow King dengan menggabungkan elemen budaya tempatan dalam kandungan dan aktiviti jenama.

mixue
Pada Ogos lalu, MIXUE Malaysia menganjurkan acara “WAU Bersama Snow King” di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, yang menggabungkan IP Snow King dengan warisan wau tradisional Malaysia.

Pada Ogos lalu, MIXUE Malaysia menganjurkan acara “WAU Bersama Snow King” di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, yang menggabungkan IP Snow King dengan warisan wau tradisional Malaysia.

Acara itu disertai lebih 500 orang awam dan mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Participants in a Wau Making Event”.

MIXUE Malaysia turut melaksanakan pelbagai aktiviti bersama masyarakat sempena Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kebangsaan, selain program kampus, aktiviti kemasyarakatan, bantuan bencana serta inisiatif berkaitan budaya dan kebajikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button